KUALA LUMPUR: Enam lagi individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan siasatan kes penipuan pelaburan melibatkan MBI International Group menerusi Operasi Northern Star.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata tangkapan terbaharu membabitkan lima lelaki dan seorang wanita itu dilakukan antara 26 Julai hingga 15 Ogos oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.
Beliau berkata kesemua suspek berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun itu direman antara empat hingga 12 hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Mereka yang ditahan ialah seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri serta dua ahli perniagaan bergelar Datuk, masing-masing mempunyai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia selain seorang penjaga kebun, akauntan kebun durian serta seorang lagi individu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Susulan tangkapan itu, AMLA membekukan dan menyita pelbagai aset tambahan bernilai RM97.69 juta termasuk 88 akaun bank berjumlah lebih RM10.53 juta, 398.8 juta unit saham dianggarkan bernilai RM86.85 juta, wang tunai RM300,600, tujuh kenderaan mewah, lima utas jam tangan serta dua beg tangan berjenama.
“Dengan tindakan terbaharu ini, jumlah keseluruhan aset dibekukan dan disita setakat ini mencecah RM6.64 bilion,” katanya.
Selain itu, Mohd Khalid berkata AMLA turut menyita sebuah syarikat pemaju hartanah, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan syarikat daripada sektor hartanah, perladangan dan perhotelan yang disita di bawah Seksyen 52(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Beliau berkata siasatan turut mengaitkan kebun durian seluas 7,980.47 hektar iaitu di Balik Pulau, Pulau Pinang (22.26 hektar); Kulim, Kedah (8.5 hektar) dan Gua Musang, Kelantan (7,949.71 hektar).
“Polis komited meneruskan siasatan menyeluruh dan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat dalam pengubahan wang haram sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan hasil haram daripada kes penipuan pelaburan MBI tampil memberi kerjasama melalui saluran rasmi Urus Setia AMLA.
Sebelum ini, Ketua Pasukan Siasatan AMLA Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali memaklumkan jumlah tangkapan membabitkan kes penipuan pelaburan MBI sebanyak 17 individu dengan jumlah keseluruhan aset dibekukan serta disita RM3.81 bilion - BERNAMA