JOHOR: Operasi bersepadu Op Padu 2.0 berjaya merampas pelbagai produk logam dan peralatan bernilai lebih RM96 juta dalam serbuan ke atas enam kilang di tiga negeri. Barangan disita termasuk tetulang keluli, besi hollow section, mesin pemotong logam, serta tong gas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata operasi itu mendedahkan pelanggaran termasuk ketiadaan Perakuan Pematuhan Standard (PPS) bagi produk logam yang diimport. “Produk siap dan separuh siap tanpa kelulusan CIDB turut ditemui, disyaki diimport secara haram,“ katanya.
Serbuan turut membongkar pengambilan pekerja asing tanpa izin dengan 60 individu diperiksa, termasuk tiga rakyat tempatan dan 57 warga asing. Kes disiasat di bawah Akta CIDB 1994, Akta Imigresen 1959, dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Op Padu 2.0 dilaksanakan bersama agensi seperti Kastam, Imigresen, CIDB, dan SIRIM. Sejak Januari, 161 serbuan di seluruh negara membawa kepada rampasan bernilai RM540.2 juta. “Kerjasama orang awam amat dialu-alukan untuk membanteras jenayah ini,“ tegas Azmi.