MELAKA: Sebanyak 125 kenderaan disita dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) yang dijalankan sepanjang Operasi Tahun Baharu Cina bermula 1 hingga 27 Feb lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata kenderaan yang disita dalam operasi itu terdiri daripada 100 motosikal, 21 motokar dan empat kenderaan barangan.

“Kesalahan yang dikesan dilakukan pemandu warga asing ialah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada lesen vokasional (GDL), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans dan salah guna LKM iaitu kenderaan persendirian dijadikan kenderaan perkhidmatan barangan.

“Kebanyakan pemandu warga asing berkenaan menggunakan kenderaan yang disita untuk menjalankan perniagaan antaranya menjual ikan serta pembersihan rumah, dan kita memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan ketirisan hasil negara,“ katanya kepada pemberita di Jambatan Syed Abdul Aziz di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu bersempena dengan Tahun Baharu Cina 2024 yang dilaksanakan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Muhammad Firdaus berkata warga asing yang memandu kenderaan yang disita itu terdiri daripada 27 warga Indonesia, Bangladesh (24 orang), Myanmar (23 orang), Rohingya (23 orang), Pakistan (22 orang) dan India (enam orang).

Sementara itu, beliau berkata sepanjang pelaksanaan Operasi Tahun Baharu Cina, sejumlah 14,971 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu, 2,266 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar, tidak mematuhi isyarat lampu, membawa muatan secara bahaya, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.

Selain itu katanya, sebanyak 48 pemandu dikesan tidak mempunyai CDL, manakala 283 kenderaan yang dipandu tidak mempamerkan pelekat P.

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 10 motosikal melibatkan pemandu bawah umur turut disita dan 20 notis dikeluarkan terhadap pemandu terlibat,“ katanya.

Terdahulu, dalam operasi bersepadu yang dijalankan malam tadi, empat pemandu kenderaan berumur lingkungan 30 hingga 40-an dikesan positif dadah jenis syabu dan ganja. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image