KUALA LUMPUR: Usaha penguatkuasaan menerusi Op Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina tahun ini telah membantu mengurangkan kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur sebanyak enam peratus berbanding tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata setakat hari kelima Op Selamat 23 yang bermula pada 28 Jan lepas, sebanyak 639 kemalangan dicatatkan dengan 13,107 saman dikeluarkan.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak enam peratus berbanding 681 kemalangan dicatatkan dengan 14,230 saman dikeluarkan dalam Op Selamat 21 sempena perayaan sama pada Februari 2024.

“Kita masih lagi dalam Op Selamat 23 yang akan berakhir esok (hari ini) dan kita akan cuba usahakan untuk mengurangkan jumlah kemalangan. Saya percaya ramai penghuni Kuala Lumpur yang akan kembali dari kampung atau bercuti pada hari ini.

“Kadar aliran trafik di ibu negara dijangka meningkat (Ahad) serta berada pada tahap tinggi. Untuk itu JSPT Kuala Lumpur akan mengambil inisiatif bagi memastikan kesesakan tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan di sini, malam tadi.

Sementara itu, sebanyak 1,500 kenderaan telah diperiksa dalam Op Motosikal dan Op Samseng Jalanan diadakan di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Loke Yew, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Laut bermula 10 malam tadi,.

Mohd Zamzuri berkata operasi yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu, memberi tumpuan terhadap kesalahan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, tiada cukai jalan serta tiada lesen memandu.

Beliau berkata operasi juga dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan mengelakkan orang ramai terutama golongan muda yang gemar berkumpul di kawasan berkenaan daripada melakukan aksi berbahaya menggunakan motosikal.

“Hasil operasi, sebanyak 72 motosikal telah disita atas kesalahan pengubahsuaian kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dengan 789 saman dikeluarkan oleh polis dan 250 saman dikeluarkan oleh JPJ,” katanya.

Dalam operasi berkenaan, lima lelaki berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan kerana pelbagai kesalahan antaranya mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan, Seksyen 30(3) Akta Racun kerana memiliki ketum dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.