KOTA BHARU: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am menumpaskan kegiatan penyeludupan beras dalam Op Taring Wawasan Kelantan apabila menahan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Air Gatal, Tanah Merah, sekitar 7.30 pagi, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata hasil pemeriksaan ke atas treler itu menemukan 28,000 kilogram beras putih dari Thailand yang disyaki diseludup masuk untuk pasaran tempatan.
Beliau berkata pemandu dan kelindan kedua-duanya merupakan warga tempatan dan dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi beras seludup berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk treler dianggarkan berjumlah RM462,000.
“Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Kawasan Simpanan Padi Berpusat Negara Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.