• 2025-07-18 08:48 PM

MUAR: Operasi mencari dan menyelamat pemandu kereta yang terjunam ke Sungai Tui, Lenga telah ditamatkan selepas empat hari. Pusat Kawalan Tempat Kejadian juga ditutup secara rasmi susulan tiada petunjuk baharu ditemui.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata operasi ditamatkan setelah pencarian terperinci di lokasi selesai.

“Penutupan PKTK dan penamatan operasi dibuat berdasarkan pertimbangan memperluas kawasan pencarian ke lokasi lain,“ katanya.

Proses pencarian akan diteruskan oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muar secara berkala.

Sebanyak 77 pegawai dan anggota pelbagai agensi terlibat dalam misi ini menggunakan kaedah darat, air, udara, anjing pengesan, dan dron.

Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dilaporkan hilang selepas kereta Perodua Axia dipandunya terjunam ke sungai. Beliau merupakan peniaga dan pemilik kedai aksesori kenderaan. - Bernama