MUAR: Operasi mencari seorang lelaki yang hilang selepas keretanya terjunam ke Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong diperluas sehingga 10 kilometer dari lokasi kenderaan ditemui.
Pencarian memasuki hari kedua dengan penglibatan pasukan bomba, polis, dan sukarelawan.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Kanan Bomba II Norshuhada Amsari, berkata operasi diteruskan sejak 8.50 pagi dengan tujuh anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar serta 11 anggota dari BBP Pagoh.
“Operasi turut disokong 26 anggota polis menggunakan bot di sungai, selain pencarian di darat,“ jelasnya.
Rakan mangsa, Muhammad Syahmi Mansur, 30, berkata dia dan sembilan rakan lain segera mencari Tengku Nizaruddin atau Ija berdasarkan koordinat GPS yang diberikan isteri mangsa.
“Ketika tiba di lokasi, keadaan gelap. Kami mencari sehingga ke Muar sebelum kembali keesokan harinya dan dimaklumkan tentang penemuan kereta Ija,“ katanya.
Kereta mangsa, Perodua Axia, ditemui dengan cermin hadapan terbuka dan pintu tidak berkunci, tetapi mangsa tidak kelihatan kerana air keruh.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz, mengesahkan operasi carian giat dijalankan dan meminta saksi menghubungi IPD Muar untuk bantu siasatan. – Bernama