KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) bagi warga Turkiye Eser Demirkol yang hilang di perairan Pulau Yu telah dihentikan hari ini.
Pencarian selama tujuh hari itu tidak menemui sebarang tanda atau petunjuk mengenai mangsa berusia 52 tahun tersebut.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Hamiludin Che Awang mengesahkan operasi ditamatkan pada pukul 8 malam tadi.
Keluasan sektor pencarian meliputi 457.61 batu nautika persegi dengan bantuan aset laut dan udara.
Pasukan penyelam dari Skuadron Selam Maritim melakukan 10 selaman dalam tempoh empat hari.
Kenderaan Jarak Jauh (ROV) turut digunakan bagi membantu pencarian di lokasi berkedalaman melebihi 50 meter.
Pencarian udara dari hari kedua hingga ketujuh juga gagal mengesan serpihan kapal layar Daisy yang karam.
Namun, aset Maritim akan terus memantau lokasi kejadian semasa operasi harian dijalankan.
“Op Carilamat akan disambung jika terdapat petunjuk baharu berkaitan insiden ini,“ kata Hamiludin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Maritim di talian 09-6224 357.
Tiga warga Turkiye yang terlibat dalam pelayaran dari Malaysia ke Turkiye dilaporkan hilang selepas kapal mereka karam pada 29 Julai lepas - BERNAMA