KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental yang dilaporkan hilang di Bukit Tabur dihentikan buat sementara waktu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail mengesahkan operasi SAR dihentikan pada pukul 6 petang semalam.
Beliau berkata polis bersedia meneruskan semula operasi jika terdapat petunjuk baharu mengenai lokasi lelaki berusia 43 tahun itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu telah pergi ke lokasi lain. Sepanjang operasi pencarian dilakukan tiada sebarang petunjuk ditemui di kawasan sekitar,” katanya.
Mohd Azam menambah bahawa satu kertas inkuiri berkaitan kes orang hilang itu telah dibuka bagi siasatan lanjut.
Laporan kehilangan Norhafsham Nazri dibuat oleh bapanya pada 2 Ogos kira-kira 1.04 tengah hari.
Mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dihantar berehat di Kampung Warisan pada 1 Ogos sekitar 2.30 petang.
Sebuah beg galas dipercayai milik mangsa ditemui di laluan menuju ke Bukit Tabur semasa pencarian awal dijalankan.
Operasi SAR kemudian dilaksanakan di sekitar Bukit Tabur dan kawasan Hulu Sungai Klang. - Bernama