CYBERJAYA: Ops GASAK yang dilaksanakan awal bulan ini bukan bertujuan menarik subsidi gas petroleum cecair (LPG) sebaliknya memperkasakan peruntukan sedia ada bagi mengekang ketirisan subsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan operasi menerusi Ops GASAK bukan suatu peraturan baharu tetapi merupakan undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan melalui ketangkasan penguatkuasaan kementeriannya.
“Kita tahu ada pihak tertentu yang risau dan meminta supaya kita melihat semula pendekatan yang kita laksanakan. Ingin saya tegaskan di sini bahawa ini bukan satu pendekatan untuk menarik subsidi, tidak... subsidi dikekalkan.
“Apa yang kita buat melalui Ops GASAK ini adalah memastikan bahawa kita dapat mengekang ketirisan subsidi dan yang kedua, ini bukan peraturan baharu. Ini peraturan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Akses Pasaran Runcit dan Majlis Penghargaan Usahawan Sektor Peruncitan di sini hari ini.
Ops GASAK dilancarkan pada 1 Mei lepas di bawah kerangka inisiatif ‘Kita Gempur’ yang bertujuan memastikan gas memasak bersubsidi tidak disalah guna oleh industri yang tidak layak atau diseludup ke luar negara.
Ditanya mengenai cadangan pengusaha dobi agar kerajaan menangguhkan tindakan penguatkuasaan Ops GASAK terhadap sektor itu, Armizan menyarankan pihak terlibat untuk melihat kembali model perniagaan mereka dan segera membuat peralihan.
“Hal ini kerana ada sektor perniagaan tertentu yang telah pun memastikan mereka mematuhi peraturan iaitu menggunakan gas LPG yang tidak disubsidi,” katanya.
Media baru-baru ini melaporkan pengusaha dobi memohon agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mempertimbangkan semula pendekatan Ops GASAK demi kelangsungan industri dobi tempatan yang turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dan ekonomi setempat.
Cadangan dikemukakan termasuk pemberian pengecualian bersyarat yang membolehkan pengusaha dobi mikro, kecil dan sederhana terus menggunakan LPG bersubsidi di bawah pemantauan pihak berkuasa.