KUANTAN: Kerajaan Pahang serius melaksanakan program pemutihan tanah pertanian membabitkan 5,526.291 hektar tanah milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) di Cameron Highlands, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy berkata pemutihan itu adalah melalui program skim sewaan tanah pertanian Pahang Corporation Sdn Bhd atau Pahang Corp bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang bermula pada 2020.

Beliau berkata status pelaksanaan pemutihan hingga 30 Jun lepas adalah sebanyak 1,661 penama yang telah dikemas kini di dalam data maklumat pekebun.

“Sebahagian tanah dengan keluasan 403 hektar telah diusahakan melebihi LPS asal, manakala 1,443 hektar lagi sedang diproses untuk kelulusan permohonan baharu.

“Daripada keseluruhan tanah tersebut, 2,798 hektar telah diukur untuk dikemas kini dalam data maklumat pekebun. Pahang Corp sebagai agensi sehenti (OSA) dilantik bagi kutipan sewaan dan caj agensi berkaitan bagi memudahkan urusan pekebun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata program itu bertujuan mengurangkan ketirisan kutipan hasil kerajaan negeri selain menyelaraskan dan pematuhan segala peraturan yang berkuat kuasa oleh jabatan serta agensi berkaitan sebelum, semasa dan selepas tempoh sewaan.

Wan Rosdy berkata bagi status kutipan sewaan tahunan dari 2020 hingga 30 Jun lepas sebanyak RM51.2 juta atau 58 peratus berjaya dikutip, manakala baki jumlah tunggakan daripada penyewa yang culas membuat bayaran sewaan adalah RM37.8 juta.

“Jika dilihat daripada jumlah keseluruhan tunggakan sewaan tersebut senarai pekebun yang masih culas membuat bayaran masih tinggi dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah kutipan hasil serta menyumbang kepada kerugian kerajaan negeri.

“Oleh itu, kerajaan Pahang berharap supaya pekebun yang masih culas untuk membayar tunggakan sewaan agar tampil membuat bayaran dengan kadar segera pada 2024,” katanya.