JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan lima warga Myanmar disyaki terlibat sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam operasi di sebuah rumah kedai di Kluang, Rabu lepas.

Pengarah Imigresen Negeri Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata empat lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 49 tahun yang dipercayai mendalangi sindiket itu ditahan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan.

“Sindiket dipercayai aktif sejak lima hingga enam tahun lepas. Sasaran mereka ialah warga asing etnik Arakan yang datang ke Kluang mencari pekerjaan dan mempunyai masalah dokumen perjalanan. Caj bayaran kad ialah RM5,000 seorang,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata turut dirampas dalam operasi itu dua pasport Myanmar, 12 keping Kad Arakan, sebuah telefon pintar jenama Oppo, borang pendaftaran UNHCR dan wang tunai RM15,855.

Dalam serbuan itu turut ditemukan tiga lelaki Myanmar berusia 35 hingga 49 tahun yang dikurung sejak dua minggu lepas dipercayai kerana belum mendapat pekerjaan dan diarahkan menunggu di premis itu sehingga diambil majikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; dan Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Dalam kes berasingan, Mohd Rusdi berkata satu sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin ditumpaskan selepas memberkas lima lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 49 tahun di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Mersing pada 2.20 pagi, hari ini.

“Pemantauan selama empat jam di lokasi yang terletak di kawasan ladang kelapa sawit itu berjaya menahan lima individu itu dengan kesemuanya ditahan ketika cuba melarikan diri ke dalam ladang dan ada yang bersembunyi di bawah katil,“ katanya.

Mohd Rusdi berkata rumah itu dipercayai dijadikan sebagai transit bagi kegiatan penyeludupan dan modus sindiket dengan menyeludup masuk warga asing ke negara ini melalui laluan haram di perairan Johor.

“Bayaran yang dikenakan oleh sindiket ini sebanyak RM3,000 setiap seorang dan RM100 untuk penghantaran ke rumah transit berkenaan sebelum di hantar ke lokasi-lokasi lain,“ katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55E Akta Imigresen.