• 2025-07-09 05:33 PM

PUTRAJAYA: Ahli Panel Pakar (POE) perlu menggandakan usaha dalam memperkukuh dasar negara serta perkhidmatan awam, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau menegaskan bahawa panel pakar berperanan sebagai pencetus utama penambahbaikan melalui cadangan inovatif.

“Usaha POE turut menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam laporan ‘World Competitiveness Ranking (WCR) 2025’, di mana negara melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dunia,“ katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk POE KPKT.

Nga menekankan bahawa Malaysia perlu berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau menyeru POE untuk menggunakan pendekatan strategik berpandukan data bagi menangani cabaran seperti ketegangan geopolitik dan perubahan iklim.

Kerajaan kini dalam peringkat akhir menyediakan inisiatif radikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

Mesyuarat POE KPKT dihadiri 39 ahli panel pakar diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. – Bernama