• 2025-07-22 10:47 AM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merampas telefon bimbit dan kad sim seorang pengguna TikTok yang disyaki memuat naik dua kandungan palsu serta jelik melampau berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kenyataan MCMC hari ini, kandungan tersebut dipercayai dimuat naik sebagai tindak balas terhadap isu pesta tidak bermoral di negara ini dan kenyataan rasmi Anwar berkenaan insentif penghargaan kepada rakyat.

“Dalam satu lagi hantaran, individu terbabit turut disyaki membuat tuduhan palsu dan jelik melampau berkaitan lawatan rasmi Perdana Menteri ke luar negara,” jelas kenyataan itu.

MCMC telah merakam keterangan individu berkenaan di ibu pejabatnya di Cyberjaya semalam bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan platform media sosial untuk menyebar kandungan palsu atau tuduhan tidak berasas. Tindakan tegas akan terus diambil bagi memelihara ketenteraman awam dan keharmonian negara. - Bernama