KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menyediakan kertas cadangan bagi pembangunan kemudahan sukan permotoran di seluruh negara sekali gus mempromosi program Rakan Litar, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Rakan Litar ialah satu daripada 10 gaya hidup yang diperkenal dalam usaha memperkukuh jenama Rakan Muda yang diberi nafas baharu.

Hannah berkata selepas kertas kerja yang disediakan untuk semua exco negeri disiapkan, kementerian seterusnya akan membuka tawaran pembangunan kemudahan itu seperti dilakukan bagi menaik taraf padang Liga Bola Sepak setiap negeri.

“Kementerian telah mengambil inisiatif untuk tengok bagaimana kita boleh memperbanyakkan lagi pembangunan kemudahan sukan permotoran seperti kita bangunkan di Perlis.

“...itu saya kira jumlah (belia) yang akan terlibat dalam Rakan Litar bertambah selepas setiap negeri mempunyai kemudahan khas. Untuk Rakan Litar yang (melibatkan) kereta lumba itu semua memerlukan tapak tanah yang sangat besar dan kos sangat tinggi, itu memang sukar untuk kita. Jadi kita tumpu kepada permotoran dahulu,“ katanya pada sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang bertanyakan tahap keberhasilan Rakan Litar ke arah mempromosi aktiviti sukan bermotor dalam kalangan belia dan sama ada KBS mempunyai perancangan menambah kemudahan permotoran di seluruh negara.

Hannah berkata Rakan Litar hanya mencapai penglibatan 3,581 belia pada tahun lepas berbanding sasaran diletakkan iaitu 4,000 orang.

Beliau berkata terdapat kemungkinan isu kekurangan kemudahan litar bagi program-program melibatkan Rakan Litar itu menyebabkannya kurang mendapat sambutan.

Antara gaya hidup Rakan Muda yang popular ialah Rakan Aktif diikuti Rakan Demokrasi dan Rakan Ekspresi.