KUALA LUMPUR: Sesi dialog awam ‘Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita’ menjadi platform penting untuk masyarakat berkongsi pengalaman dan cadangan menangani isu buli secara lebih berkesan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyatakan maklum balas yang diperoleh akan digarap oleh Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat bagi menghasilkan laporan lengkap untuk dibentangkan di Parlimen.
“Isu buli ini memerlukan pandangan yang jelas dan jitu,“ katanya ketika berucap pada pelancaran sesi pertama dialog awam itu di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen.
Beliau menegaskan maklum balas yang diterima tidak akan disimpan tetapi akan dikutip, dibukukan dan dijadikan laporan untuk dibahaskan.
Johari berharap dapat menggesa kerajaan merangka penyelesaian serius bagi menangani masalah buli secepat mungkin untuk menyelamatkan lebih ramai anak-anak.
Beliau telah meminta Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Yeo Bee Yin mempercepatkan penyediaan laporan berkenaan bagi membolehkan ia dibentang serta dibahas pada sidang Parlimen November ini.
“Lebih cepat laporan itu siap, lebih baik,“ katanya ketika ditemui media selepas sesi tersebut.
Johari menekankan isu buli mental merupakan cabaran besar yang menuntut penyelesaian menyeluruh dengan penglibatan kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat.
Beliau berkongsi pengalaman peribadi sebagai seorang anak penoreh getah yang pernah melalui episod buli sejak di bangku sekolah hingga ke universiti.
“Saya sendiri pernah mengalami situasi buli, bukan sahaja fizikal tetapi juga mental dan saya tahu kesan buli mental ini sangat dalam dan kekal seumur hidup,“ katanya.
Johari turut menceritakan pengalaman mengendalikan kes pelajar Malaysia yang dibuli di luar negara ketika bertugas sebagai Pengarah Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat.
“Masalah buli bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi terjadi di mana-mana sahaja di seluruh dunia,“ tegasnya. – Bernama