PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan maklumat keberadaan ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata usaha sedang dijalankan untuk mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan yang dipercayai berada di sebuah negara di Timur Tengah.
Azam berkata pihaknya juga berharap Kementerian Dalam Negeri bersetuju dengan permohonan SPRM untuk membatalkan pasport Muhammad Adlan bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan projek di sebuah kementerian.
“Saya dimaklumkan beliau berada di sebuah negara di Timur Tengah yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SPRM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad.
Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Mereka ialah Muhammad Adlan dan peguam Mansoor Saat dengan kedua-duanya dikenal pasti sudah meninggalkan Malaysia pada Mei 2023.
Azam berkata usaha dilakukan bagi mengesan lokasi sebenar Muhammad Adlan termasuk mendapatkan kerjasama daripada Polis Antarabangsa dan pihak berkuasa lain.
Berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor berkaitan isu rasuah konsesi perlombongan pasir, Azam mengesahkan pihaknya telah mengambil tindakan baharu berkaitan siasatan kes tersebut.
Ini berikutan khabar angin mendedahkan beberapa individu terkait dengan skandal rasuah tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada minggu lepas.
Mengenai pemeteraian memorandum persefahaman itu, Azam berkata ia bertujuan meningkatkan integriti selain SPRM bekerjasama dengan ANGKASA untuk menjalankan pelbagai program serta membantu dalam melicinkan hal berkaitan integriti dan pentadbiran. – Bernama