• 2025-07-24 04:59 PM

KUALA KRAI: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis kanabis serta methamphetamine dua minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Wan Muhamad Aziem Ashraf Wan Mustafa, 31, dan isterinya Wan Matraf Azlinda Wan Mat, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan pertama, pasangan itu didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 67,750.4 gram (67.75kg) di tepi jalan Padang Sembilan di sini kira-kira 4 pagi, 11 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 15.1 gram di lokasi, waktu, dan hari yang sama.

Kesalahan ini di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan maksimum sembilan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia. – Bernama