• 2025-07-27 06:51 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara rakyat daripada semua lapisan masyarakat termasuk nelayan, petani, pekerja kilang, peniaga kecil serta anak muda dan bukan hanya suara di sebalik mikrofon politik di atas pentas himpunan.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati hak berhimpun tetapi tidak akan membenarkan demokrasi disandera oleh agenda politik tertentu.

“Malaysia MADANI menghormati hak berhimpun dan bersuara. Kerajaan memastikan tiada tindakan keras diambil, tiada gas pemedih mata ditembak dan tiada pentas dihancurkan. Hak rakyat untuk bersuara dijamin,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan gabungannya supaya kembali ke gelanggang pilihan raya sekiranya yakin suara rakyat telah berubah.

“Bukan melalui pentas jalanan, bukan melalui angka yang dibesar-besarkan dan bukan dengan memanipulasi isu kaum dan agama untuk menghasut emosi,“ tegasnya. – Bernama