• 2025-07-17 04:31 PM

KOTA BHARU: Perintah reman terhadap pasangan suami isteri yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran ganja bernilai RM3.1 juta di Kuala Krai telah disambung tujuh hari lagi.

Kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun itu kini menjalani siasatan terperinci bagi membantu pembongkaran kegiatan jenayah tersebut.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pertuduhan rasmi akan dikenakan terhadap suspek pada 21 Julai ini.

“Setakat ini, tiada tangkapan lain dibuat, tetapi siasatan diteruskan untuk mengenal pasti kaitan mereka dengan sindiket lain,“ jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Pasangan itu ditahan pada 11 Julai lepas di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai, selepas polis mengesyaki kenderaan Proton X70 yang dinaiki mereka. Dadah jenis ganja disembunyikan dalam peket kacang gajus sebelum berjaya dirampas.

Dalam perkembangan lain, indeks jenayah di Kelantan bagi suku pertama 2025 menunjukkan penurunan sebanyak 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun, kes jenayah kekerasan seperti rogol dan samun bersenjata api mencatatkan peningkatan.

“Kami perlu tingkatkan pemantauan dan pendidikan komuniti bagi menangani isu ini,“ tambah Mohd Yusoff. Statistik kemalangan jalan raya juga menurun sebanyak dua peratus, dengan kes maut berkurangan 19 peratus. - Bernama