• 2025-07-17 09:27 PM

TAIPING: Cubaan tiga lelaki tempatan menyeleweng minyak sawit mentah bernilai hampir RM1 juta gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam Op Taring Palma yang dijalankan di Taiping, semalam.

Operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama Cawangan Risik PGA Briged Utara, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Utara dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dari pukul 3 hingga 6 petang.

Komander PGA Briged Utara SAC Shahrum Hashim berkata pihaknya mengesan sebuah lori tangki yang bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekori kenderaan itu hingga ke tepi Jalan Taiping–Bagan Serai. “Hasil pemantauan mendapati suspek sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah dari dua buah lori tangki ke sebuah lagi lori jenis bonded,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui 10 tong biru berkapasiti 200 liter setiap satu di dalam lori bonded berkenaan, selain beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak tersebut. Jumlah keseluruhan minyak sawit mentah yang dirampas adalah seberat 75,400 kilogram, selain dua buah lori tangki, sebuah lori bonded dan tiga unit telefon bimbit turut disita.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM975,200. Semua suspek serta barang rampasan diserahkan kepada MPOB Wilayah Utara untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 5, Peraturan-Peraturan MPOB (Pelesenan) 2005. Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Taiping turut mengeluarkan dua saman ke atas suspek atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama