KLUANG: Suasana riuh rendah di Penjara Kluang pagi ini berubah menjadi sayu apabila seorang banduan warga emas tidak dapat menahan sebak selepas terpilih untuk dibebaskan lebih awal melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI sempena Aidiladha.

Pak Man, 73, berkata dia ditahan bagi kesalahan dadah pada Februari lepas, dengan tarikh asal pembebasan ialah Disember tahun ini.

“Saya betul-betul tak sangka (dibebaskan awal) dan pihak penjara memaklumkan pembebasan diawalkan atas beberapa faktor termasuk berkelakuan baik,” katanya ketika ditemui pada Program PBSL Ihsan MADANI- Kepulangan Yang Dinanti bersempena Sambutan Aidiladha 1446H di sini hari ini.

Datuk kepada 14 cucu itu berkata hukuman di Penjara Kluang adalah yang ketiga, selepas dua kali dia dipenjarakan di Melaka.

Pak Man berkata peluang dibebaskan lebih awal menjadikan dia bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama, selain lebih teruja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga di Segamat, Johor.

“Alhamdulillah, kali ini saya dapat beraya dengan mereka. Syukur sangat-sangat. Cukuplah tiga kali... saya tidak mahu buat (kesalahan) lagi. Semasa dalam penjara saya rindu sangat keluarga, lebih-lebih lagi pada Aidilfitri lepas. Semasa itu, saya paling rindu rendang masakan isteri,” katanya.

Sementara itu, isteri Pak Man yang dikenali sebagai Mak Nab, 60, menyifatkan kepulangan suami sebagai hadiah paling berharga, terutamanya dia kini berjuang melawan penyakit buah pinggang tahap empat.

“Saya tak minta banyak... cukup dia tidak ulang kesilapan lepas. Untuk raya kali ini, semua enam anak juga sudah balik kampung,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Kluang Penolong Komisioner Penjara Jomison Gondikit berkata sebanyak 72 banduan termasuk tiga wanita dipilih untuk pelepasan PBSL kali ini, dengan pemilihan dibuat secara teliti termasuk menilai aspek disiplin semasa dalam tahanan.

“Program ini bukan hanya pelepasan bersyarat, tetapi simbol kasih sayang, harapan dan peluang kedua kepada mereka yang benar-benar menunjukkan keinsafan serta perubahan positif,” katanya.