• 2025-09-18 08:27 PM

SHAH ALAM: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah segera menyelenggara mana-mana saliran yang berisiko menjadi punca banjir kilat di negeri ini.

Exco Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi berkata arahan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian banjir membabitkan kawasan bukan hot spot seperti di Ulu Bernam, Hulu Selangor baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Pengurusan Bencana menekankan pentingnya tindakan pantas terhadap saliran di kawasan berisiko banjir terutama ketika musim hujan.

Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisik dan Dewan Orang Ramai Ulu Bernam bagi menempatkan 43 keluarga dari lebih lima kampung.

Mohd Najwan bersama pihak pengurusan bencana telah melawat sembilan daerah di seluruh Selangor minggu lepas untuk bertemu pemimpin komuniti dan ketua kampung.

Mereka terlibat dalam latihan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Peserta latihan didedahkan kepada konsep, jenis, kategori bencana dan profil bencana alam di Malaysia melalui program tersebut.

Pemimpin komuniti dan ketua kampung juga menerima maklumat mengenai mekanisme pengurusan bencana yang fokus terhadap komuniti berdaya tani.

Mereka yang dilatih sudah mempunyai persiapan asas untuk digerakkan sekiranya berlaku bencana sementara menunggu bantuan pihak berkuasa tiba. – Bernama