PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek berkenaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau telah memaklumkan perkara berkenaan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata kecurian kabel tidak boleh dianggap kes kecurian biasa kerana ia menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Tindakan yang lebih tegas di bawah undang-undang lebih ketat perlu diambil. Saya serahkan kepada pihak polis dan kebijaksanaan polis untuk mengambil tindakan tetapi kita tak boleh anggap ini sebagai kecurian biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Loke berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan melaksanakan langkah mitigasi dan keselamatan di semua tapak projek ECRL bagi membendung kes kecurian kabel itu.
MRL hari ini melahirkan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek ECRL yang kini berada pada fasa penting menjelang penyempurnaan pada Disember 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer adalah projek infrastruktur terbesar di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China di Malaysia dijangka meningkatkan jaringan pengangkutan dan merangsang pembangunan ekonomi di pantai timur Semenanjung Malaysia.
-- BERNAMA