KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran lapan pegawai kanannya, termasuk empat ketua polis negeri berkuat kuasa 21 Julai depan.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Kamaruzaman Abdullah berkata pertukaran itu melibatkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.
Beliau berkata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman manakala Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.
“Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamaruzaman berkata pertukaran lain melibatkan Timbalan Pengarah (Teknikal/Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman DCP Gilberd Philip Layang yang dilantik sebagai pengarah di jabatan sama dengan memangku pangkat CP.
Selain itu beliau berkata Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat), Bahagian Teknikal/Operasi, Jabatan Logistik Dan Teknologi, Bukit Aman SAC Redzuan Abd Hamid dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Teknikal/ Operasi), Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.
“Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/perhubungan Antarabangsa), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman SAC Mohd Rozi Jidin pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/ Kawalan Lalu lintas/ Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya.
Beliau berkata pertukaran lain melibatkan Penolong Pengarah (Teknologi Maklumat), Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat Bahagian Teknikal/ Operasi, Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman ACP Nordin Md Nor yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Telekomunikasi dan Sistem Maklumat) di jabatan sama dengan memangku pangkat SAC.