BEREGU wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke final Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menumpaskan pilihan kelima dari China, Li Yi Jing-Luo Xu Min dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan di sini hari ini.
Pasangan di ranking keempat dunia itu mencatat kemenangan 21-12, 17-21, 21-11 dalam pertarungan sengit selama 64 minit, yang turut diserikan dengan sorakan padu penyokong tuan rumah.
“Kami gembira kerana berjaya ubah rentak permainan dan menyokong satu sama lain dengan baik. Ia banyak membantu kami di gelanggang,” kata Pearly selepas tamat perlawanan.
Gandingan negara itu turut menzahirkan kepuasan dengan prestasi yang ditampilkan, namun tetap mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan menjelang penampilan kedua mereka di pentas final di bumi Indonesia.
Sebelum ini, Pearly-Thinaah tewas di pentas final Masters Indonesia Januari lalu kepada pasangan Korea Selatan, Kong Hee Yong-Kim Hye Jeong, dalam aksi tiga set 12-21, 21-17, 18-21.
“Kami akan ambil masa untuk rehat, berbincang dengan jurulatih dan beri tumpuan pada pemulihan menjelang perlawanan akhir,” tambahnya.
Pearly-Thinaah dijadualkan menentang sama ada pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China atau gandingan Korea Selatan di ranking ketiga dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee, yang akan beraksi malam ini.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terkandas di separuh akhir selepas tewas kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, 21-23, 21-15, 21-11.