KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kediaman cucu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Bukit Ledang, di sini yang dipecah masuk pada Rabu lepas.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata hal itu susulan rakaman CCTV di kediaman berkenaan tidak dapat membantu siasatan kerana menyimpan rakaman untuk tempoh 24 jam sahaja.
Beliau berkata CCTV rumah terbabit dipasang pada 1990-an dan mempunyai ruang menyimpan rakaman yang terhad.
“Kejadian dipercayai berlaku lebih 24 jam selepas laporan polis dibuat oleh pemilik rumah berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Mohamed Usuf, rumah berkenaan merupakan rumah lama yang jarang dikunjungi oleh cucu-cucu Dr Mahathir yang lain.
“Setakat ini, polis telah merekodkan keterangan daripada tiga individu, iaitu cucu kepada Dr Mahathir, pengawal keselamatan dan pembantu rumah, polis juga sedang menganalisis bukti-bukti yang telah diterima antaranya cap jari dan ini mungkin mengambil masa sedikit,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah kediaman milik cucu kepada bekas Perdana Menteri itu dipecah masuk mengakibatkan mangsa kehilangan barang kemas bernilai RM1.8 juta yang disimpan di dalam bilik di rumah berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu disedari oleh pembantu rumah pada 3 petang, Rabu setelah mendapati pintu pagar di bahagian belakang rumah dipotong dan bilik majikannya dipercayai dimasuki pencuri.
Mengulas mengenai perkembangan kes melibatkan penyanyi Shila Amzah, beliau berkata pihaknya akan merakam keterangan dua lagi saksi bagi melengkapkan kertas siasatan.
Beliau berkata kertas siasatan mengenai kes berkenaan telah dipulangkan oleh Jabatan Peguam Negara baru-baru ini susulan laporan polis dibuat oleh penyanyi Datuk Amy Search terhadap Shila Amzah berhubung isu itu- BERNAMA