GEORGETOWN: Seorang pegawai penguat kuasa sebuah agensi di sini yang disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,500 sebagai balasan membantu menyelesaikan kes berkaitan judi laga ayam hari ini ditahan reman selama tiga hari.

Majistret Mohamad Azlan Basri mengeluarkan perintah reman hingga 25 Ogos ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki berumur 30-an itu ditahan pada kira-kira 4 petang semalam di sekitar Pulau Pinang.

Menurut sumber, suspek disyaki melakukan perbuatan itu baru-baru ini semasa proses jamin pengadu bersama 12 rakan pengadu yang lain.

“Suspek dipercayai telah meminta RM500 daripada setiap orang dan jumlah keseluruhan ialah RM6,500... bagaimanapun, semasa tangkapan dibuat (penguat kuasa) hanya menemui wang tunai kira-kira RM5,000,” katanya.