KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) kini mewajibkan pegawai perubatan kontrak yang dilantik ke jawatan tetap untuk memilih sekurang-kurangnya satu daripada tiga penempatan di Sabah atau Sarawak melalui sistem e-placement 2.0. Langkah ini bertujuan menangani ketidakseimbangan agihan tenaga kerja kesihatan antara Semenanjung Malaysia dan wilayah Borneo.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa pendekatan ini merupakan inisiatif baharu yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini. “Jadi, mewajibkan satu daripada tiga itu mesti diletakkan pilihan Sabah dan Sarawak. Yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,“ katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan ketidakseimbangan agihan sumber manusia kesihatan, terutamanya melibatkan penempatan pakar, doktor, dan jururawat.
KKM turut menetapkan kuota penempatan pegawai perubatan tetap iaitu 650 orang di Sarawak dan 310 orang di Sabah. Jumlah ini membentuk 42.7 peratus daripada keseluruhan 2,248 pegawai perubatan yang baru ditempatkan. Selain itu, sehingga 31 Mac lalu, seramai 1,002 pegawai perubatan kontrak telah ditempatkan di Sabah manakala 937 orang di Sarawak bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tambahan di fasiliti kesihatan awam.
Bagi jangka panjang, KKM menyokong inisiatif kerajaan negeri menawarkan biasiswa kepada pelajar bidang perubatan dan kesihatan. Merit tambahan juga diberikan kepada mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak, terutamanya di kawasan pedalaman. “Merit ini dijadikan satu weightage, satu pemberat tambahan dalam skala pemarkahan calon untuk mendapatkan biasiswa ini,“ jelas Dzulkefly.
Ketika ditanya mengenai strategi meningkatkan kadar pengekalan pegawai perubatan dalam sektor awam, beliau menekankan langkah utama iaitu penyerapan pegawai perubatan kontrak kepada jawatan tetap. “Dalam tempoh tiga tahun, lebih 13,552 pegawai perubatan kontrak telah diserap menjadi tetap,“ katanya.
Usaha ini selari dengan pindaan Akta Perubatan bagi mengiktiraf laluan kepakaran parallel pathway dan sarjana perubatan sebagai dorongan untuk doktor kekal dalam perkhidmatan awam - BERNAMA