• 2025-09-17 01:36 PM

KOTA KINABALU: Seorang pegawai perubatan memaklumkan Mahkamah Koroner bahawa pegawai penyiasat kes Zara Qairina Mahathir tidak mengeluarkan borang POL 51 iaitu permintaan pemeriksaan ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu itu.

Dr Logaraj Ratha yang ditempatkan untuk latihan luar kampus di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak Jun tahun lepas mendedahkan perkara itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

“Saya telah menerima surat pelepasan atau kebenaran penyerahan jenazah daripada Inspektor Wong Yew Zhung agar jenazah remaja itu diserahkan kepada ibunya, Noraidah Lamat tanpa melalui proses bedah siasat medikolegal,” kata saksi ketujuh itu ketika membacakan pernyataan saksi pada hari kelapan prosiding inkues berhubung kematian remaja tersebut.

Saksi berkata beliau dimaklumkan tentang satu kematian di Wad Neurosurgeri yang melibatkan siasatan polis sebelum jenazah dibawa ke mortuari pada 17 Julai lepas iaitu hari Zara Qairina disahkan meninggal dunia.

Memandangkan kes itu membabitkan siasatan polis, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Pakar Patologi Forensik yang bertugas iaitu Dr Ding Chee Swan.

“Saya telah menghubungi Inspektor Wong dan beliau memberitahu saya bahawa beliau telah dimaklumkan bahawa punca kematian Zara Qairina adalah akibat Severe Traumatic Brain Injury with Hypoxic Ischemic Encephalopathy.

“Inspektor Wong turut memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan pegawai atasan sebelum memberi maklum balas lanjut.

“Kemudian, beliau memberitahu saya bahawa pihak polis tidak akan mengeluarkan borang POL 61 dan pihak hospital boleh menyerahkan jenazah Zara Qairina kepada keluarganya tanpa melalui proses bedah siasat medikolegal,” kata beliau sambil menambah jenazah pelajar itu kemudian diserahkan kepada ibunya.

Zara Qairina yang berusia 13 tahun merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum itu setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi. – Bernama