KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan beliau telah memaklumkan pihak atasan mengenai keterangan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berhubung pemberian wang kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Ng Heng Jun, penguasa kanan SPRM, berkata maklumat itu diterima semasa siasatan kes penipuan membabitkan ahli perniagaan G. Gnanaraja pada 9 Disember 2019. Zarul Ahmad, yang ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), menyatakan beliau bukan sahaja menyerahkan wang kepada Gnanaraja tetapi juga kepada Lim.
“Datuk Zarul hanya memberitahu saya secara umum sahaja mengenai pemberian wang kepada Lim. Saya tidak terlibat dalam siasatan penyerahan wang kepada Lim itu kerana kes tersebut dikendalikan oleh pegawai penyiasat lain,“ kata Ng semasa pemeriksaan semula di Mahkamah Sesyen.
Beliau menambah bahawa beliau telah memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan SPRM, dan satu siasatan khas akan dijalankan. Ng merupakan pegawai penyiasat bagi kes penipuan Gnanaraja yang membabitkan RM19 juta berkaitan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Dalam perbicaraan kes rasuah projek bernilai RM6.3 bilion itu, Lim didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek tersebut. Beliau juga didakwa meminta suapan 10 peratus keuntungan projek.
Selain itu, Lim turut berdepan dua pertuduhan melupuskan dua lot tanah kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi dijangka bersambung pada 22 Julai ini. - Bernama