• 2025-07-22 12:01 PM

KUALA LUMPUR: Pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah memberi manfaat kepada 239,053 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM523.4 juta sejak pelaksanaannya dari September 2015 hingga 30 Jun 2025, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Katanya IPG dilaksanakan untuk menjamin kebajikan pekebun kecil getah agar masih memperoleh pendapatan yang wajar apabila harga getah jatuh di bawah Paras Harga Pengaktifan (PHP). “Bermula tahun 2024, PHP IPG telah dinaikkan kepada RM3.00 sekilogram,“ katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

KPK menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung langkah strategik kementerian dalam memastikan harga getah kekal stabil dan tidak merosot hingga menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Menurut KPK, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah membangunkan Projek Rintis Model Baharu IPL+ di Kedah dan Perak bertujuan menggalakkan pekebun kecil beralih kepada pengeluaran getah dalam bentuk lateks yang memberi pulangan lebih tinggi berbanding cuplump.

“Sehingga Jun 2025, sebanyak 221 tan metrik lateks telah berjaya dihasilkan melalui Projek IPL+. Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan peluasan program ke tiga lagi lokasi tambahan yang sedang dijalankan pada tahun ini, iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor,“ katanya.

Selain itu, LGM sedang membina tiga pusat Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2026. Program ini bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui penglibatan langsung dalam rantaian industri tanpa kebergantungan kepada orang tengah.

“Ia memendekkan rantaian bekalan dan membolehkan pekebun menghasilkan getah krip bernilai tambah dengan Kandungan Getah Kering (KGK) kira-kira 80 peratus, yang memberi pulangan lebih tinggi kepada pekebun kecil. Jika dilaksanakan melalui koperasi, keuntungan turut diagihkan sebagai dividen kepada ahli,“ jelas KPK. - Bernama