KUALA LUMPUR: Seorang pelajar wanita sebuah kolej ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya.
Mangsa yang berusia sekitar 20-an ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa pada 11.55 pagi Khamis lepas.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Punca kematian disahkan akibat pendarahan di sekeliling hyoid bone (tulang leher), manakala kecederaan pada otot dan tulang adalah kesan daripada manual strangulation (cekik),“ jelas Wan Azlan.
Mangsa dikatakan tinggal bersama kakak dan sepupunya, tetapi ketika kejadian, dia berada di rumah seorang diri.
Rumah tersebut merupakan milik keluarga mangsa dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihati agar tidak membuat spekulasi berhubung kes ini.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat ASP Zainol Aazizi Abu Bakar di 013-3227632- Bernama