SEREMBAN: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat sebuah sekolah swasta di sini maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata remaja berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 7.45 pagi oleh pegawai perubatan.

“Kita menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.11 pagi. Siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah terbabit.

“Pelajar tersebut juga mengalami beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala, bahu kanan dan muka. Punca kematian adalah disebabkan jatuh dari tempat tinggi,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini beberapa saksi terdiri daripada pelajar dan guru telah dipanggil untuk dirakamkan percakapan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 atau Ketua Polis Balai Campbell di talian 012-7707282 untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, sekolah berkenaan dalam kenyataan memaklumkan mereka bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu siasatan selain akan mengadakan kaunseling secara berterusan kepada pelajar bagi memulihkan emosi.

“Kami turut berdukacita dan memohon maaf dengan kejadian yang berlaku, takziah kepada pihak keluarga.

“Pihak polis telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan siasatan masih dijalankan. Pihak sekolah juga akan membantu keluarga pelajar itu sepenuhnya dalam lain-lain urusan,” katanya.