• 2025-07-31 01:12 PM

KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan memacu pertumbuhan mampan berteraskan penciptaan nilai merentasi semua sektor, melibatkan pelaburan RM611 bilion bagi menjayakan pelan lima tahun itu dan RM430 bilion daripada jumlah tersebut merupakan peruntukan pembangunan daripada kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RMK13 turut menumpukan kecerdasan buatan dan penekanan terhadap inisiatif “Buatan Malaysia” bagi menempatkan negara sebagai sebuah negara berdaya saing dan berpendapatan tinggi di peringkat global.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pelan pembangunan itu merupakan kesinambungan kepada dasar Ekonomi MADANI bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara seumpama menaikkan siling, meningkatkan darjat hidup rakyat seumpama menaikkan lantai dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan ke arah tatakelola terbaik.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ di Dewan Rakyat hari ini.

“Ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung pada pengeluaran bahan asas dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan. Kita perlu melonjakkan kerencaman ekonomi dengan beralih kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.

“Dalam menelusuri ikhtiar pembangunan nasional, kita tidak boleh lagi terpaku pada ukuran sempit melibatkan angka pertumbuhan ekonomi, misalnya,” kata beliau.

Menurut Anwar, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat dan berkembang tidak akan memberi sebarang makna sekiranya kebebasan dan hak rakyat untuk hidup secara bermaruah masih dirundung oleh belenggu kelaparan, ketidakadilan dan peminggiran.

Katanya pertumbuhan KDNK Malaysia diunjur berkembang pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh lima tahun 2026-2030 diterajui oleh permintaan domestik, terutamanya penggunaan dan pelaburan swasta - BERNAMA