KUALA LUMPUR: Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030 akan memastikan pendekatan lebih komprehensif bagi memerangi masalah seperti bantut dan obesiti.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelan itu diharap dapat mempercepat usaha membendung isu malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak demi membina negara dan rakyat Malaysia yang sihat bermula di peringkat awal usia.

Beliau berkata pelan yang mengandungi lima teras strategi dan 31 inisiatif itu mengambil kira fungsi dan dasar di setiap kementerian dan agensi serta menitikberatkan penglibatan pelbagai pihak, strategi rentas bidang (cross cutting strategies) dan pengukuhan strategi sedia ada.

“Pelan ini memberikan keutamaan kepada mengukuhkan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pihak berkepentingan, meningkatkan kualiti dan akses perkhidmatan pemakanan, pemantapan persekitaran dan masyarakat yang kondusif.

“Selain itu, usaha memperkasakan pembangunan kapasiti dan modal insan ke arah kesejahteraan pemakanan kanak-kanak serta sinergi advokasi pemakanan kanak-kanak juga turut diberi penekanan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Dzulkefly menjawab soalan Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan kementerian untuk mewujudkan dokumen induk seperti Pelan Tindakan Pemakanan Kanak-Kanak bagi menyelesaikan isu pemakanan membabitkan kanak-kanak.

Beliau berkata pelan itu menyasarkan impak khusus kepada kanak-kanak, remaja, wanita dalam umur reproduktif serta kumpulan rentan, yang dirangka bagi menggembleng tenaga secara bersepadu dan efektif semua pihak berkepentingan dalam pelaksanaan strategi, program dan aktiviti digariskan.

“Pengukuhan inisiatif 1,000 hari pertama kehidupan kanak-kanak bermula seawal hari pertama ibu hamil sehingga anak berusia dua tahun merupakan satu daripada usaha yang sedang diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi libat urus dan advokasi kepada pihak farmasi swasta dan klinik kesihatan swasta bagi membuat saringan awal.

Ini termasuk ujian hemoglobin darah kepada wanita dan bakal ibu dalam mengurangkan risiko komplikasi kehamilan agar mereka dapat merancang kehamilan sihat.

Selain itu, pengawasan tumbesaran bayi dan kanak-kanak dengan menjalankan timbang berat badan dan ukur tinggi serta seterusnya memaklumkan status pertumbuhan anak kepada ibu bapa dan penjaga agar mereka mengetahui taraf pemakanan anak-anak.