PHNOM PENH: Kemboja mencatat peningkatan sebanyak 50.7 peratus dalam ketibaan pelancong dari China bagi separuh pertama tahun 2025 berbanding tempoh sama tahun lepas, lapor Xinhua yang memetik laporan terkini Kementerian Pelancongan negara itu pada Sabtu.
Laporan itu menyatakan sejumlah 586,771 pelawat dari China mengunjungi negara Asia Tenggara itu dari Januari hingga Jun tahun ini.
Jumlah pelancong China merangkumi 17.4 peratus daripada keseluruhan ketibaan 3.36 juta pelancong antarabangsa ke Kemboja dalam tempoh berkenaan, menjadikan China sebagai sumber ketiga terbesar pelancong asing ke negara itu selepas Thailand dan Vietnam.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) cawangan Kemboja Thourn Sinan berkata peningkatan ketara 50.7 peratus itu menunjukkan minat kukuh dan semakin meningkat dari pasaran China.
“Dengan pelonggaran sekatan perjalanan dan kerjasama dua hala yang dipertingkat, saya menjangkakan trend ini akan berterusan pada separuh kedua tahun ini,” katanya kepada Xinhua.
“Peningkatan golongan kelas pertengahan di China, disokong oleh kempen promosi yang disasarkan serta peluasan laluan penerbangan, dijangka terus merangsang ketibaan pelancong dari China,” kata beliau.
Namun demikian, katanya, mengekalkan pertumbuhan ini bergantung kepada kesinambungan sambungan penerbangan, kemudahan visa, dan tarikan pelancongan Kemboja yang berterusan kepada pelawat dari China.
Beliau turut menyatakan bahawa secara keseluruhan, sektor pelancongan Kemboja menunjukkan potensi pertumbuhan positif pada separuh kedua 2025, dipacu oleh trend serantau dan global selagi usaha strategik diteruskan.
Pelancongan merupakan satu daripada empat tonggak utama yang menyokong ekonomi Kemboja selain eksport pakaian, kasut dan barangan perjalanan, pertanian, serta pembinaan dan hartanah- BERNAMA-XINHUA