MELAKA: Dua individu masing-masing seorang pemandu dan kelindan dua kenderaan perkhidmatan barangan (KPB) ditahan kerana positif dadah dalam Operasi Khas Pengarah (Lebih Muatan) yang dijalankan di sekitar Melaka bermula 10 malam tadi hingga 9 pagi ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Khairul Aswad Abdul Halim berkata kelindan lori membawa muatan pakaian terpakai dari Kuala Lumpur itu ditahan kira-kira 11.30 malam, di Jalan Tun Hamzah selepas keputusan saringan urin mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
“Lori berkenaan ditahan kerana didapati membawa lebihan muatan pakaian terpakai, manakala saringan urin terhadap pemandu serta kelindannya oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati kelindannya positif dadah.
“Dalam kes kedua, pemandu lori berusia 40-an yang membawa muatan jagung dari Pelabuhan Klang ke Jasin ditahan kerana positif dadah sama,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi melibatkan 25 anggota JPJ dan lima anggota AADK itu memeriksa 89 kenderaan, dengan 21 daripadanya diarahkan ditimbang.
Khairul Aswad berkata 19 KPB yang diarah timbang didapati membawa lebih muatan manakala satu kenderaan tidak melebihi muatan dan sebuah lori gagal hadir timbang.
Beliau berkata pemandu lori yang gagal hadir timbang akan diberikan notis di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 melalui pos berdaftar dan secara keseluruhan sebanyak 43 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pemandu KPB yang diperiksa.
“Kebanyakan pemandu KPB didapati membawa lebihan muatan untuk mendapat upah atau komisen lebih tanpa memikirkan keselamatan pengguna jalan raya lain,“ katanya.
Beliau turut menggesa syarikat, pemilik dan pemandu KPB mematuhi peraturan ditetapkan termasuk meningkatkan tahap kawal selia keselamatan operasi kenderaan komersial bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya.