• 2025-09-05 09:19 PM

GEORGE TOWN: Seorang pemandu lori makanan sejuk beku yang mendakwa ditikam dalam kejadian samun di Jalan Minden 1 Gelugor semalam didapati merekacarita untuk menutup perbuatannya menggunakan wang hasil jualan syarikat berjumlah RM3,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad menyatakan penipuan lelaki berusia 32 tahun itu terbongkar selepas siasatan dilakukan susulan laporan orang awam pada pukul 8.17 malam.

Beliau berkata pemandu lori tersebut pada mulanya mengaku disamun oleh tiga lelaki dan ditikam di bahagian perut pada pukul 7.45 malam.

Abdul Rozak menambah siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami luka tikaman sedalam 3.5 sentimeter dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Bagaimanapun siasatan lanjut mengesahkan lelaki itu sebenarnya tidak disamun dan ditikam tetapi merekacarita kejadian tersebut untuk menipu majikan.

Beliau menjelaskan pemandu lori itu telah membelanjakan kutipan hasil jualan produk syarikat untuk kegunaan peribadi.

Abdul Rozak menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan atau memberi maklumat palsu kerana ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap sesiapa yang memberikan maklumat palsu kepada pihak polis. – Bernama