BATANG KALI: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor.
Kejadian berlaku petang tadi dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 2.14 petang.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar mengesahkan pasukan bomba tiba di lokasi pada 2.45 petang.
“Setibanya di lokasi pada 2.45 petang, didapati sebatang pokok telah tumbang menghempap sebuah Toyota Hilux,“ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa lelaki tunggal dipercayai telah meninggal dunia di dalam kenderaan tersebut.
Lima anggota bomba bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke lokasi kejadian.
Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan sedang dijalankan oleh pasukan bomba ketika laporan dikeluarkan. – Bernama