• 2025-10-20 08:33 PM

KUALA LUMPUR: Persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 semakin rancak di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Hanya enam hari berbaki sebelum sidang kemuncak bermula pada 26 Oktober, kerja-kerja pemasangan struktur dan hiasan luar dilaksanakan dengan tekun.

Pelbagai hiasan berunsur identiti ASEAN kini menghiasi kawasan luar KLCC, termasuk arca dan dekorasi bertemakan perpaduan serantau.

Struktur kubah lut sinar flora dan fauna setinggi 10 meter menjadi mercu tanda utama untuk menyambut delegasi antarabangsa.

Kubah berkenaan mempunyai diameter 20 meter dan diinspirasikan daripada seni bina kontemporari Malaysia.

Walaupun cuaca sering diselangi hujan lebat, kerja-kerja persiapan tetap diteruskan mengikut jadual.

Petugas teknikal dan kontraktor dilihat tekun menyempurnakan pemasangan struktur serta landskap.

Kawasan sekitar KLCC berada dalam kawalan keselamatan ketat dengan anggota polis ditempatkan di setiap laluan utama.

Simulasi kawalan lalu lintas oleh pasukan polis trafik juga diadakan bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi.

Suasana sekitar Menara Berkembar Petronas dan KLCC Park tetap meriah dengan kehadiran orang awam serta pelancong.

Mereka mengambil peluang bergambar di sekitar arca dan hiasan ASEAN yang menjadi simbol persahabatan serantau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.

Ia merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Sidang kemuncak ini dijangka menjadi penganjuran terbesar dalam sejarah sejak pertama kali diadakan pada 1976.

Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang.

Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa juga dijangka menghadiri sidang kemuncak tersebut. – Bernama