KUANTAN: Pelantikan pemangku bagi jawatan menteri yang dikosongkan merupakan langkah penting bagi memastikan kelancaran urusan kementerian, terutama menjelang sidang Parlimen yang dijadual bermula 21 Julai ini, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari, yang diberi tanggungjawab menjalankan sementara tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata pelantikan itu juga perlu bagi memastikan isu-isu kritikal melibatkan kementerian berkaitan dapat ditangani segera.
“Apabila ada kekosongan (jawatan menteri), Perdana Menteri akan melantik pemangku menteri. Ini penting kerana Parlimen akan bersidang, dan banyak soalan perlu dijawab. Sebagai contoh, Kementerian Ekonomi perlu memuktamadkan RMK-13 (Rancangan Malaysia ke-13), jadi sudah tentu seseorang perlu dilantik bagi menyelesaikannya dalam masa terdekat.
“Justeru, jawatan sebagai pemangku ini diberi supaya isu-isu kritikal dapat diselesaikan dalam tempoh satu atau dua bulan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan 2025, di sini hari ini.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan bahawa Johari diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa serta-merta.
Pada 28 Mei lepas, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa pada 4 Julai.
Pada 28 Mei lepas, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkuat kuasa 4 Julai.
Sementara itu, pada 27 Jun lepas, Shamsul Azri turut mengumumkan bahawa Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab sebagai pemangku Menteri Ekonomi, berkuat kuasa serta-merta, susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli yang berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing meletak jawatan selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti yang diadakan Mei lepas - BERNAMA