PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 31 tahun berstatus pemastautin sementara dipenjara kerana didapati menjadi dalang aktiviti pemalsuan kad pengenalan (MyKad) di ibu negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kegiatan itu terbongkar hasil siasatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap kerugian berjumlah RM14,000 yang dialami seorang lelaki akibat MyKad miliknya disalah guna.
Beliau berkata dalam kes itu, pihak berkuasa menemukan kad pengenalan palsu yang kemudian membawa kepada serbuan sepasukan anggota JPN di sebuah kediaman di Pandan Indah Ampang, Selangor.
“Dalam serbuan itu, JPN merampas set lengkap peralatan mencetak MyKad palsu, termasuk komputer riba, pencetak, mesin laminasi, cakera keras serta enam MyKad.
“Semakan mendapati dua daripada MyKad itu milik individu lain manakala empat lagi disahkan palsu,“ katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara bersendirian namun pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian lebih besar.
Beliau berkata kad pengenalan palsu dipercayai dijual kepada warga tempatan dan asing pada harga RM4,000 hingga RM5,000 sekeping.
Saifuddin Nasution memaklumkan lelaki berkenaan sudah didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 11 Mac lepas, mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Hakim menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan dan denda RM3,000 terhadap lelaki berkenaan.