• 2025-06-25 01:45 PM

JOHOR BAHRU: Projek pembinaan struktur tol gantri sudah mencapai lebih 20 peratus, iaitu mendahului jadual ditetapkan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Beliau berkata projek berkenaan yang dijadualkan siap pada 15 Dis tahun ini, akan mengurangkan kesesakan di kawasan Kong Kong dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Selain itu, beliau berkata projek berkenaan juga merupakan jalan penyelesaian kepada pertikaian berkaitan pembukaan jejambat yang telah lama siap.

“Pembinaan jejambat oleh pihak Meridin East Sdn Bhd telah siap dibina pada 2021 menghubungkan kawasan Kong Kong ke SDE. Ia dibina bertujuan menyuraikan trafik kawasan perumahan Kong Kong ke kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat.

“Jejambat yang menelan kos RM53 juta ini dapat menjimatkan perjalanan dari Jalan J10 ke Pasir Gudang/Tanjung Langsat yang jaraknya 12 hingga 15 kilometer (km) dan memakan masa kerana kesesakan teruk pada waktu puncak,“ katanya dalam kenyataan.

Mohamad Fazli berkata tanpa jejambat ini pengguna terpaksa melalui Plaza Tol Cahaya Baru dan membuat pusingan U di Plaza Tol Tiram sebelum kembali ke tol sama, melibatkan jarak tambahan sejauh 40kmdan bayaran tol sebanyak RM11.20.

Beliau berkata keadaan itu juga menyebabkan sesetengah pengguna melakukan pusingan U di kawasan yang tidak selamat sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.

“Dengan pembukaan jejambat ini, mereka yang dari kawasan Kong Kong dapat terus ke SDE seterusnya ke Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat dan ini menjimatkan perjalanan mereka kepada hanya 7km,” katanya.