KOTA BHARU: Pembinaan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) fasa dua akan dilaksanakan serta-merta, kata Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata projek fasa dua itu telah lama dirancang dan amat penting untuk pembangunan Kelantan, justeru terminal lama ditutup dan dikosongkan untuk kerja-kerja pembinaan fasa berkenaan.

“Alhamdulillah, semalam saya tiba di LTSIP, saya melihat terminal baharu LTSIP (fasa satu) dilengkapi dengan kedai-kedai dan kemudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pembinaan dan penaiktarafan terminal LTSIP selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI NRES di Kampung Aril, Melor di sini hari ini.

Semalam, terminal baharu LTSIP fasa satu mula beroperasi walaupun belum siap sepenuhnya.

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Kamaruzzaman Razali dilapor berkata terminal baharu LTSIP dijangka menerima 30 hingga 35 penerbangan sehari dan pertambahan penumpang 4,000 ke 4,500 orang sehari.

Terminal baharu itu memiliki lebih 20 kaunter penerbangan, tempat meletak kenderaan bertingkat, laluan khas untuk pemandu teksi, balai bomba dan penyelamat terminal, pertambahan ruang tempat meletak kapal terbang dan sistem operasi tanpa tunai LTSIP untuk memudahkan penumpang.

Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP itu melibatkan kos RM440 juta.