BUTTERWORTH: Meskipun terdapat persaingan sengit bagi jawatan utama pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sentiasa berdiri teguh sebagai satu pasukan tanpa sebarang puak, kata Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk Seri R.Ramanan.

Beliau berkata parti berusia 26 tahun itu hanya mempunyai satu pasukan iaitu pasukan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan kekal sebagai pemimpin nombor satu parti hingga akhir penggal walaupun jawatan timbalannya bakal menyaksikan pertembungan dua figura besar parti.

“Sebelum ini, ada sahaja individu yang mendakwa mereka adalah kelompok kedua dalam PKR dan saya rasa perkara itu perlu dihentikan kerana perbuatan sedemikianlah yang mewujudkan faham kepuakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ramanan berkata demikian ketika mengulas laporan Nurul Izzah Anwar yang akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bagi sesi 2025-2028 akhir bulan ini, yang dikatakan berkemungkinan mewujudkan perpecahan.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata pemilihan parti perlu dijalankan secara sihat sebagai satu keluarga besar tanpa sebarang kebencian mahupun hasutan.

Mengenai pencalonan Nurul Izzah, Ramanan berkata pada awalnya Puteri Reformasi itu tiada cadangan untuk bertanding namun beliau menawarkan diri selepas melihat sokongan akar umbi yang menyaksikan 201 Ketua Cabang menyatakan sokongan kepadanya bagi mengisi jawatan nombor dua parti.

Beliau berkata Anwar, selaku Presiden PKR, juga pasti tidak mengetahui yang anaknya akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden parti.

Nurul Izzah dalam kenyataan hari ini mengesahkan pencalonannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti 23 Mei ini.

Sementara itu, Ramanan yang mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada sesi pemilihan kali ini, mengakui bahawa beliau berdepan persaingan sengit.

Ramanan berkata beliau akan bekerja keras untuk mendapatkan sokongan akar umbi parti serta berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh beberapa negeri setakat ini, termasuk Kedah dan Pulau Pinang.