IPOH: Seorang pemilik lori tangki didenda RM100,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan tanpa lesen.
Hakim Rohaida Ishak turut memerintahkan Ong Seow Hooi, 49, dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Lelaki tempatan itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di Jalan Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar kira-kira 2.45 pagi pada 6 Jan 2024.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam kenyataan memaklumkan lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Tertuduh ditahan bersama sebuah lori yang diubah suai mengandungi minyak diesel sebanyak 4,432 liter di dalam tangki simpanan pukal (IBC) yang telah menimbulkan syak munasabah untuk satu kesalahan dilakukan iaitu berurus niaga dengan cara jual borong atau jual runcit barang berjadual iaitu minyak diesel tanpa suatu lesen yang sah,” menurut kenyataan itu hari ini.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa KPDN Mohamed Nizam Mohamed Yunan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam telah menjelaskan denda berkenaan.