PETALING JAYA: Pemimpin agama merupakan kumpulan terbaik untuk membawa nilai keamanan kepada manusia pada dunia masa kini, kata Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Cor Episcopa Philip Thomas.

Beliau berkata sebagai pemimpin agama, mereka perlu melihat nilai keamanan, kerana keamanan itu tidak boleh hanya semata-mata berasaskan kepada ungkapan konstruk berdasarkan perjanjian.

“Salah satu ungkapan kardinal keamanan ialah cinta kepada kehidupan bersama, dan banyak nilai dunia masa kini muncul daripada sistem pendidikan yang negatif,” katanya semasa ucaptama di Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024, hari ini.

Phillip berkata anak-anak muda hari ini harus diajar satu bentuk keamanan terkawal ringkas dalam pendidikan mereka, supaya ungkapan keamanan itu tidak menjadi suatu yang asing, kerana ia akan menjadi sebahagian daripada pembentukan dan ekspresi mereka, pada ketika proses pembesaran mereka.

“Setiap usaha membina hubungan merupakan satu ungkapan yang dapat dilihat di Malaysia, kepada pelbagai ungkapan. Bukan sahaja oleh badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat beragama, tetapi juga oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Malaysia menerusi pelbagai program dan jabatan kerajaan telah cuba untuk menyatukannya ke dalam ungkapan di mana akan wujud keamanan, perpaduan dan hidup bersama di seluruh negara.

Phillip berkata semua usaha itu memberitahu kita bahawa maruah manusia sentiasa dicabar oleh kuasa jahat, negatif dan penindasan yang sentiasa cuba memecahbelahkan perpaduan.

Beliau berkata salah satu cara untuk memulihkan perpaduan adalah dengan berusaha ke arah menebus maruah manusia.

“Untuk melihat maruah ini dalam kalangan orang miskin, orang kaya, orang terpinggir, orang pelarian dan semua orang yang melalui pelbagai jenis penindasan.

“Pada masa kini kita telah direndahkan untuk berfikir bahawa nilai manusia adalah komoditi, dan kita tidak sepatutnya percayakannya,” katanya sambil menambah bahawa inti pati manusia ialah perpaduan, kesatuan dan kasih sayang.

Sementara itu Menteri Kanan Menjaga Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja Okhna Datuk Hassan Othsman pada persidangan itu berkata walaupun di Kemboja umat Islam dianggap minoriti, ramai dalam kalangan umat Islam memainkan peranan besar di negara itu, terutama dalam sektor kepimpinan kerajaan Kemboja.

Beliau berkata orang Islam diberi peluang sama seperti warga Kemboja lain untuk bekerja di mana-mana, malah ada sebilangan orang Islam yang berada di Dewan Negara, mereka yang menjadi Ahli Parlimen dan dilantik sebagai Timbalan Menteri di Kemboja.

“Kerajaan memberi kami peluang yang sama seperti semua orang, malah di wilayah majoriti Islam di Kemboja, orang Islam diberi peranan kepimpinan sebagai wakil daerah atau gabenor bandar,” katanya dalam ucaptamanya.

“Kami orang Melayu di sini (di Kemboja) adalah sepenuhnya warga Kemboja, kami tidak melihat kaum dan agama kerana kami hidup bersama dalam harmoni dan apa yang penting bagi kami ialah kepentingan negara dan keselamatannya,” katanya.

Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya, pagi ini, menarik kira-kira 2,000 tokoh agama dan intelektual dari 57 negara dan dianggap sebagai persidangan antarabangsa paling bersignifikan bagi pemimpin agama yang dianjurkan benua Asia.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.