• 2025-07-07 05:33 PM

NIBONG TEBAL: Seorang pempengaruh TikTok ditahan polis kerana disyaki melakukan aksi memandu secara berbahaya dengan melakukan drift di kawasan parkir Stadium Batu Kawan pada tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Jay January Siowou, mengesahkan lelaki berusia 26 tahun itu ditahan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik pada pukul 12.20 tengah malam.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang melibatkan memandu secara melulu dan membahayakan keselamatan orang lain.

Pemeriksaan rekod menunjukkan lelaki tersebut pernah ditahan di bawah seksyen yang sama sebelum ini.

Jay January menegaskan bahawa tindakan sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengelakkan sebarang aksi berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan. - Bernama