KOTA BHARU: Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk menentukan barisan kepimpinan baharu sayap parti itu pada pemilihan sempena Muktamar PAS ke-71 September ini.
Beliau berkata budaya dalam PAS tidak menggalakkan perebutan jawatan, sebaliknya lebih mementingkan amanah dan keputusan secara kolektif.
“Dalam PAS, kita tidak diajar untuk memburu jawatan. Saya serahkan kepada perwakilan, biar mereka dan jemaah yang tentukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan Kali Ke-66 di sini hari ini.
Afnan Hamimi juga mengakui ramai calon layak menggantikannya dan berharap pemimpin baharu Pemuda PAS perlu berjiwa muda, memahami generasi kini (Gen Z) dan berani menyuarakan isu anak muda serta menegur perkara yang tidak betul.
Muktamar PAS Pusat akan berlangsung pada 15 dan 16 Sept 2025 di Kota Sarang Semut, Alor Setar untuk memilih jawatan tertinggi dalam parti. - Bernama